Monday, August 29, 2011

Panduan pimpinan menghadapi cabaran perjuangan Islam


Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat   
“Sempena Muktamar ke-57”
 Firman Allah yang bermaksud: “Serta mengilhamkannya (untuk mengenal)
 jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa (8); 
Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih 
bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan) (9). 
Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih 
itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat) (10).” 
 (Surah Asy-Syams 91:8-10)
Sesuatu yang penting dihayati dan diambil iktibar ialah mengenai pengiktirafan 
masyarakat Mekah kepada Nabi Muhammad SAW sebelum baginda dilantik 
oleh sebagai Rasul. Syakhsiyah baginda sudah masyhur sebagai seorang ‘al-amiin’ 
sudah diterima baik oleh semua lapisan masyarakat.
Ini bererti sifat al-amiin itu sudah menghiasi syakhsiyah Nabi Muhammad SAW 
sehingga terserlah kepercayaan dan keyakinan masyarakat, betapa baginda 
seorang yang benar-benar ‘boleh diharap’ sama ada di dunia mahu pun di akhirat.
Justeru semua individu yang bergelar pimpinan perlulah utamakan muhasabah 
diri supaya boleh diterima sebagai al-amiin. Ia sesuai dengan maksud 
firman Allah di atas (seperti maksud ayat di atas) yang meletakkan sifat 
membersih diri sebagai tangga kejayaan.
Maknanya, seseorang itu perlu bersih diri dan cara membersih diri ialah dengan 
mengawal nafsu. Percayalah, sifat peribadi (syakhsiyah) seseorang itu tidak
 boleh baik dan sempurna kalau nafsu tidak boleh dikawal.
Selain itu, cara bersih diri dari pengaruh nafsu buruk ialah menggunakan ‘taqwa.’ 
Melalui taqwa kepada Allah sahaja yang boleh menyebabkan masyarakat 
percaya dan yakin kepada seseorang pemimpin. Atas sifat taqwa jugalah 
apa sahaja yang kita buat––sembahyang, puasa, jaga keluarga hatta 
mengurus kemasyarakatan––masyarakat akan rasa yakin dan boleh percaya.
Begitu juga, bila seseorang itu bertaraf pemimpin, syakhsiyahnya akan dilihat baik 
atau sempurna bila ia tidak merokok, lekat sembahyang berjemaah, berterusan 
dengan amalan sunat, tidak kedekut bersedekah, ringan kaki tulang kerana 
kerja kebajikan rakyat atau seumpamanya. Ia sebagaimana sifat dan amalan 
Nabi Muhammad SAW. Apa yang utama, sifat Nabi itu hendaklah dijadikan asas
 melakukan muhasabah diri.
Ambillah pengajaran daripada kisah tatkala Nabi Muhammad balik dari Gua Hira’ 
selepas bertemu Malaikat Jibrail. Ketika itu, isteri baginda Siti Khadijah menjadi 
pendorong dan penguat semangat untuk Nabi berhadapan dengan tugas 
dan tanggungjawab setelah menerima wahyu. Kata-kata mulia Siti Khadijah
 berbunyi: “Sekali- kali tidak! Demi Allah, sekali- kali Allah tidak akan menghinakan
 kamu selamanya. Sesungguhnya kamu benar-benar orang yang suka 
menyambung tali persaudaraan, menghormati tetamu, membantu orang yang
 sengsara, memenuhi keperluan orang yang memerlukan, dan membantu
 orang-orang yang ditimpa musibah.”
Dalam konteks masyarakat Malaysia yang diselubungi fahaman sekular 
dibawa oleh Umno, ia telah menjauhkan kehidupan rakyat dari agama. 
Oleh itu terlalu penting bagi setiap rakyat (kalangan Melayu, Cina dan 
India dan semuanya) menjaga diri masing-masing supaya tubuh badan 
kita boleh menjadi bahan dakwah, contoh kepada semua orang.
Demikian pengalaman PAS di Kelantan yang sudah masuk 20 tahun memimpin
 rakyat ke jalan kehidupan beragama. Justeru di Kelantan kini wujud senario
 atau suasana ke’Islam’an, sekaligus mendidik rakyat menghayati amalan 
mengikut syariat Islam. Wujud suasana di masjid-masjid sekitar bandar yang
 dimakmurkan dengan sembahyang berjemaah pada setiap waktu puncak.
Begitu pula, cukup terasa ketenangan dan keselamatan ketika berada di pusat bandar. 
Terasa perubahan suasana, apabila hotel-hotel yang dulunya sinonim dengan
 aktiviti tidak sihat, sehingga ada tok-tok lebai terasa goyah bila ke hotel.
 Namun kini, berkat peraturan Islam, hotel sudah jadi tempat selamat didiami.
Diikuti pula, perkembangan baik berlaku dari segi sistem kewangan Negeri
 berikutan majoriti bank sudah bertukar kepada sistem kewangan Islam. 
Tidak ketinggalan, pihak bank luar negara turut membuka cawangan di 
Kelantan, seperti mana yang terbaru dari sebuah bank dari Kuwait. 
Ia disokong lagi dengan kemajuan sistem pajak gadai Ar-Rahn yang 
diperkenalkan oleh Kerajaan Kelantan turut diterima oleh Bank Rakyat dan 
Bank Islam. Malah yang terbaru, RHB Bank turut melancarkan pajak 
gadai Islam (ar-Rahnu).
Tidak ketinggalan, selama 20 tahun Kelantan di bawah kepimpinan Islam telah 
mencipta perkembangan baik di bidang pendidikan Islam. Sehingga merakam
 kejayaan sistem pengajian Yayasan Islam Kelantan (YIK). Malah turut 
berkembang sama sistem pengajian tahfiz al-Quran dan sains di bawah 
Kerajaan Negeri dan swasta. Kesannya telah lahir bijak pandai (intelek) 
Islam menguasai bidang profesional yang hafal al-Quran.
Berkat daripadanya, wujud suasana kerukunan hidup masyarakat Kelantan
 dan hubungan harmoni antara kaum––Melayu, Cina, India dan Siam––
hidup dengan aman dan sejahtera.
Kesemuanya meletakkan asas kukuh bahawa tanggungjawab kepimpinan 
ke arah memerintah secara Islam adalah wajib. Lihat sahaja perjalanan
 Nabi Muhammad SAW sepanjang menjadi nabi dan pemimpin negara. 
Ketika sistem pemerintahan telah zaman-berzaman wujud di dunia, 
tetapi Nabi sendiri yang bawa Islam dan tatkala Islam berkuasa, maka
 Nabi tidak meniru sistem pemerintahan yang sedia ada. Nabi sendiri rela
 bergadai nyawa, demi menegakkan pemerintahan Islam. Ketika di Mekah pun, 
Nabi sendiri ditawar dengan serba-serbi kekuasaan dan kemewahan. 
Namun kesemuannya ditolak. Malah Nabi sendiri meninggalkan Mekah
 (berhijrah ke Madinah) demi menegakkan pemerintahan Islam.
Di Madinah pula, Nabi mengadakan tahaluf-siyasi dengan puak-puak
 bukan Islam (Yahudi dan Nasrani). Nabi sendiri memimpin dan mengendalikan
 semua urusan politik dan pentadbiran negara. Maka kepimpinan 
Nabi telah berlaku selama 23 tahun, bermula dari Mekah hinggalah ke Madinah.
Biarpun selama itu, apa sahaja cara dan gaya kepimpinan Nabi dilihat 
‘berlawan arus’ atas semata-mata untuk tegakkan Islam. Natijahnya, 
Nabi berjaya menunjukkan contoh kepimpinan terbaik (khudwah hasanah) 
yang mesti ditiru oleh semua pemimpin dari dahulu sampailah sekarang.
Di sebalik kebaikan kepimpinan Nabi, baginda sering mengutamakan 
pelaksanaan tugas dan tanggungjawab atas apa yang dipimpin. 
Justeru Nabi bukanlah seorang yang bermewah kerana jawatan, 
malah pernah berhutang dengan seorang Yahudi dan sanggup mencagarkan 
baju rantai untuk membayar hutang. Walau pun ada sahabat sedia menyara
 Nabi, tetapi baginda tidak bersedia untuk hidup atas bantuan orang lain.
Pengajaran daripada syakhsiyah dan kepimpinan Nabi Muhammad SAW itu, 
harapnya semua pemimpin PAS hari ini perlu meletakkan ‘peribadi Nabi’ 
sebagai khudwah. Maka, seorang pemimpin itu hendaklah bergantung bulat 
kepada apa yang Nabi tunjuk itu. Ia sesuai dengan apa yang kita baca di 
dalam sembahyang. Sebab itulah, setiap kali sembahyang diwajibkan 
menyebut dan memuji Nabi. Dan sembahyang itu berlaku sebelum awal fajar 
dan ketika mata hari terbenam. Kesemuanya menuntut untuk kita sentiasa
 menyebut-nyebut sifat Nabi. Agar sifat itu sentiasa menjadi ikutan kita. 
Sesungguhnya, kebaikan kepimpinan Nabi Muhammad SAW jelas membawa 
rahmat dan kesejahteraan untuk sekalian alam. Justeru kenapakah kita
 tidak mahu menjadikan Nabi sebagai khudwah hasanah?
Semoga sekalian pemimpin PAS menjadikan syakhsiyah
 Nabi Muhammad SAW sebagai khudwah hasanah. Kepimpinan akan
 beroleh kejayaan dan jemaah akan terus utuh menuju matlamat perjuangan,
 yakni kemenangan Islam.
Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,
Al-Mursyidul Am PAS.


Copyright from harakahdaily
p/s:kepada "ANDA" semua,sama-sama kita renungkan :)

1 comment: